Sabtu, 18 April 2020

Sihir

Mas Sugeng
Photo Credit:  Google Images

 

Sihir dari segi istilah merupakan satu perbuatan menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang disihir secara tersembunyi (ghaib) yang melibatkan makhluk halus, dan dilakukan di luar hukum alam bagi mencapai tujuan tertentu, contohnya menyakiti seseorang, mengubati penyakit dan juga meramal masa hadapan. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu pada kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.
Ibnu Khaldun dalam buku Muqaddimah menjelaskan sihir seperti berikut:

Ilmu sihir dan tilik adalah satu ilmu tentang persedian jiwa manusia untuk mempengaruhi alam kebendaan sama ada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Yang pertama adalah sihir dan yang kedua adalah tilik. Oleh kerana ilmu-ilmu ini ditolak di sisi syariat kerana mengandungi bahaya, dan kerana di antara syarat-syaratnya ialah mengadap selain daripada Allah, seperti bintang atau sebagainya, maka kitab-kitabnya telah lenyap di kalangan manusia kecuali yang terdapat dalam kitab-kitab bangsa-bangsa purba termasuk yang ujud sebelum Nabi Musa AS seperti bangsa Qibti dan Kaldani.

Sihir dalam sejarah masyarakat dahulu

Antara perkara yang dijumpai dalam catatan Mesir purba adalah mentera khusus untuk merawat kecederaan disebabkan kebakaran, seperti kata-kata Isis dalam satu lagenda Mesir "Isis dan Orisis" untuk menyembuhkan kanak-kanak bernama Horus yang dibakar oleh ahli sihir[1]:

Keluarlah, wahai engkau yang datang di dalam gelap dan masuk secara sembunyi-sembunyi! Adakah engkau datang untuk mengucup kanak-kanak ini? Aku tidak mengizinkan mengucupnya. Adakah engkau datang untuk mengambilnya? Aku tidak mengizinkanmu mengambilnya dariku. Aku telah melindunginya darimu dengan rumput apis yang memedihkanmu, dengan bawang yang menyakitkanmu, dengan madu yang manis dirasa oleh makhluk-makhluk yang hidup dan pahit di mulut makhluk-makhluk yang mati, dengan beberapa bahagian yang busuk dari ikan abad dan dengan tulang ikan sungai.